LAMAN GURU BESAR

SELAMAT TAHUN BARU 2017


Assalamualaikum wbh, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.

Selamat tahun baru 2017. Terlalu pantas masa berlalu, rasa baru saja kita bertungkus lumus menjayakan semua program tahunan 2016, sedar tak sedar dah lama pulak kita tinggalkan tahun 2016. Semasa ruangan ini dinukilkan, sudah sebulan berlalu tahun 2017. Betapa masa terlalu cepat berlalu, kalau kita tidak seiring bersama masa pasti masa akan meninggalkan kita jauh ke belakang. Oleh itu mari lah kita bersama-sama melihat masa depan, bertindak bijak dengan memandang jauh seminggu, sebulan atau beberapa bulan ke hadapan, supaya kita tidak terleka dan terlepas pandang. Jangan lihat ke belakang, kerana masa lalu adalah sejarah yang mengajar kita supaya lebih berhati-hati.

Semua warga SKS yang saya sayangi,

Mari bersama saya menjadikan sekolah kita cemerlang dalam semua bidang kerana saya percaya kepada potensi setiap orang yang berada di sekolah ini. Gunakan peluang yang ada, bekerja dengan penuh integriti dan melimpah ruah dengan kasih sayang kepada sesiapa saja di sekitar kita dan suka dengan tugas yang telah diamanahkan, maka sudah pasti:

Murid suka datang kerana guru tidak garang
Guru suka ke kelas kerana murid tak malas
Pentadbir tidak terlepas pandang, guru rasa disayang
Ibu bapa suka ke sekolah kerana guru ramah
Petugas kebersihan tak jemu bertugas kerana itu sekolah terhias
Tukang kebun rajin berkebun, semua nampak tersusun
Pengawal menjaga pagar kerana itu memang wajar

Semoga tahun 2017 akan memberikan segala yang terbaik untuk SKS2. Wasalam.

Salam kasih sayang,

Siti Awa bt. Jamil




Salam Tahun Baru 2015

Kita perlu memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Esa di atas segala limpahan rahmatNya kita masih diberikan peluang untuk menghirup udara tahun baru 2015. Alhamdulillah kita diberi kesempatan untuk membaiki segala kekurangan yang terdapat pada tahun 2014, semoga sinar 2015 akan lebih terang dan menyinari seluruh kehidupan warga SKS 2. Kesatuan fikrah dan wawasan akan memudahkan kita mencapai kecemerlangan tanpa banyak masa terbuang menangani urusan remeh temeh yang mengganggu perjalanan sekolah. Kerjasama dan kesepakatan adalah tunjang utama kejayaan di samping usaha dan kesungguhan. Marilah kita bersama-sama memajukan SKS2 dengan penuh iltizam.


Salam tahun baru,
7 Januari 2015




PERINGATAN SUKU TAHUN TERAKHIR

Assalamualaikum wbh dan salam sejahtera kepada semua warga SKS 2 termasuk PK, guru, pelajar,PIBG, KSIB, ibu bapa, pekerja kebersihan, pengawal keselamatan, pengusaha dan petugas kantin dan sesiapa jua yang berada di sekolah ini. Maaf lama sungguh saya tidak menitipkan bicara di ruangan yang ada disebabkan masalah teknikal yang remeh temeh. Saya bagaikan dirantai untuk tidak menulis di sini. Rugi rasanya bila kita tidak menyambut peluang yang diberi olehNya. Kita sama-sama punya masa 24 jam sehari tetapi kita gagal menguruskannya dengan bijak. Alhamdulillah hari ini saya mampu berada di hadapan screen note book.
Telah banyak acara dan peristiwa berlaku sejak kali terakhir saya menulis hingga saat ini. Walaubagaimanapun syabas dan tahniah saya ucapkan kepada guru-guru saya yang bertungkus lumus menjayakan semua program yang dirancang. Komitmen yang diberi amat saya hargai dan sudah semestinya khidmat tuan/puan diperlukan lagi untuk beberapa agenda yang belum dilunaskan.
UPSR sudah seminggu berlalu, Alhamdulillah berkat usaha guru-guru semua calon hadir menduduki ujian, tidak ada yang kecewa dan patah semangat. Ibu bapa memberikan sokongan dan guru-guru sarat membekalkan motivasi kepada calon. Tahniah cikgu. Kita menunggu buah yang akan ranum pada 26 November nanti. Saya berdoa dan berharap biarlah buah yang masak ranum yang akan kita petik bertambah jumlahnya dari tahun lepas.
Kita belum sampai ke garisan penamat, kita masih berlari untuk mengejar banyak lagi aktiviti. Sebaik saja Sukan Tahunan berakhir kita berikan tumpuan kepada Karnival Jom Ke Sekolah pada 2 November nanti disamping tidak mengkesampingkan keperluan dan kehendak PKSR 2. Hari Anugerah Cemerlang dan Graduasi tahun 6 akan menjelang, semua nya perlu kita usahakan supaya program yang dijalankan lancar dan berkesan.
Harapan saya kepada semua warga sekolah dan PIBG serta KSIB yang banyak membantu, sama-sama lah kita menjayakan semua program dan terima kasih banyak-banyak di atas huluran tangan membantu di sana sini. Kita bekerja dengan hati yang seronok dan ceria, lupakan hujan gerimis dan tempias yang datang. Kita bersatu dan saya sentiasa menyokong setiap yang baik dan yang penting SAYA SAYANG ANDA SEMUA. 

20.10.2014




ANUGERAH SGSP BSN SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA 2013
 KATEGORI SEKOLAH 
BILANGAN MURID MELEBIHI 500 ORANG
DI PALACE GOLDEN HORSES HOTEL
24 MAC 2014

TEMPAT PERTAMA











DUA TAHUN
BERTURUT-
TURUT
2012
&
2013
















SALAM TAHUN BAHARU 2014


Kita panjatkan syukur kepada Yang Maha Esa atas limpah rahmat dan belas kasihNya, kita dapat menghirup udara 2014 yang pelbagai corak iklimnya. Baru saja banjir melanda beberapa negeri dan panas di sebahagian negeri yang lain, kini hujan kembali membasah bumi yang penuh dengan bermacam sampah. Hujan, panas adalah lumrah aturan alam, begitu juga hidup kita. Suka duka adalah jalinan hidup yang menambahkan warna warni sketsa harian.

Tahun 2013 kita tinggalkan dengan bahagia dan suka, bunga kejayaan telah mula menguntum dan mewarnai SKS2. Kita menunggu kuntuman itu kembang dan mekar di tahun 2014 ini. Biarlah bilangan kuntum bunga makin bertambah dan mengubah keseluruhan landskap sekolah.

Kepada semua warga sekolah, saya amat bangga bekerja bersama kalian, jutaan terima kasih yang tidak terhingga saya lakarkan atas segala komitmen dan penat lelah yang disumbangkan. Saya melihat kepayahan yang dilalui, saya nampak penat dan letih semua tapi dalam kesukaran itu saya mengesan kesungguhan dalam diri dan saya terhidu kejayaan yang lebih cemerlang menanti SKS2 di masa hadapan. Mari kita teruskan legasi ini dengan semangat yang kuat dan bersatu hati.

Tahniah semua, anda penggerak dan andalah pencetus kejayaan.




SELAMAT MAJU JAYA CALON UPSR 2013

Salam buat semua, Penolong Kanan yang bertungkus lumus, guru tahun 6 yang bersusah payah mengerah idea dan minda, guru-guru yang sedia menghulur tangan membantu di mana yang perlu dan semua calon UPSR serama 118 orang yang tak lena tidur dan tak selera makan menanti tarikh 10, 11 dan 12 September yang bakal menjelang.
Semua bersatu di bawah satu impian, untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dan mengangkat nama SKS2 ke tahap yang lebih tinggi. 
Syabas semua yang saya sayangi yang saya sebutkan di atas, anda semua amat bernilai dan berharga di mata dan di hati saya. Semua berperanan dan menyumbang khidmat, bak kata bijak pandai bahasa' yang buta meniup tepung, yang pekak mencucuh meriam'. Tahniah semua, jasa anda tak ternilai harganya, sumbangan sebelum ini dan juga saat akhir kita ini diharapkan agar membuahkan natijah dan buah yang manis untuk sama dikecap. Kita impikan SKS2 yang lebih baik dari semalam.
YDP PIBG dan jawatankuasa serta ibu bapa, terima kasih atas segala-galanya dan marilah kita tadahkan tangan mendoakan agar semua anak kita beroleh kejayaan.
Calon UPSR 2013, teruskan usaha, buktikan anda boleh dan ciptalah kejayaan untuk anda. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik. Selamat berjaya . Saya sayang anda semua.







Pn Siti Awa Bt Jamil
Salam 1 Malaysia buat semua warga SKS2.Tahniah dan syabas kepada admin yang berusaha mengupgradekan blog ini, harapan saya ini akan menjadi satu medan perjumpaan maya antara seluruh warga sekolah termasuk ibu bapa/penjaga pelajar. Segala maklumat dapat diakses dengan mudah, perhubungan menjadi semakin mantap dan erat, kerjasama dan kesepakatan dapat ditingkatkan, satu hati satu aspirasi untuk mencapai SKS2 yang cemerlang.

Gandingan mantap seluruh tenaga yang bernaung dan bersangkutpaut dengan sekolah akan dapat digemblengkan dan capai apa yang sekolah inginkan.
Sebarang cadangan untuk kemajuan sekolah amat dialukan. Berbincang mencapai persefahaman adalah lebih baik dari tidak berbuat apa-apa. Saya yakin dengan sokongan padu GPK2, guru2, staff sokongan,YDP PIBG dan jawatankuasa,pelajar2 serta pekerja2 sekolah, insyaallah SKS2 boleh melangkah kehadapan dengan kemas dan bergaya.

Teruskan usaha dan selamat maju jaya. 
SELAMAT TAHUN BARU 2013.


*****************************************************
Salam,

Ahlan wa sahlan Ya Ramadan. Selamat menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Bulan puasa bukanlah bermakna kita berhenti atau melambatkan momentum akademik di sekolah. Dengan berpuasa, perut masih kosong, minda dapat bergerak lebih aktif, badan lebih ringan dan sudah tentu semangat untuk belajar kian membara di sudut hati. Ini lah masa yang baik untuk terus fokus terhadap pelajaran, bagi warga pendidik berilah sepenuh tumpuan dan perhatian untuk mencapai bintang-bintang yang sudah lama kita impikan. Ini lah saat dan ketikanya kita terus menggilap dan menyinarkannya. Usaha yang lebih dari biasa pasti akan menerbitkan natijah yang bagus dan luar biasa.

Biarlah kita berpenat penat dahulu asalkan kita bersantai-santai kemudian. Biarlah peluh menitis asalkan nanti airmata kegembiraan pula yang menitis di hari keputusan diumumkan. Kepada semua tenaga akademik dan kepimpinan sekolah, saya bangga dan amat menghargai khidmat bakti kalian, kepada anak-anak didik, jangan lah jemu menimba ilmu, teruskan usaha dan selamat maju jaya. 

No comments:

Post a Comment